Secara tradisional di Semenanjung Arab terutamanya di Yaman, hidangan ini dimasak di dalam tanoor iaitu lubang khas di dalam tanah. Daging yang diperap digantung di bahagian atas periuk nasi, lalu lubang ditutup rapat dan dibakar menggunakan kayu arang secara slow cooking. Proses ini membolehkan titisan lemak dan jus daging jatuh terus ke dalam nasi, sekali gus menyerap aroma asap (smoky) yang amat menyelerakan.

Bagi menyesuaikan hidangan mandy ini dengan kemudahan dapur moden, Dya kongsikan teknik yang jauh lebih ringkas tanpa mengurangkan keaslian rasanya.
Anda tidak lagi memerlukan tanoor atau persediaan yang rumit, kerana nasi boleh dimasak dengan mudah terus di atas dapur gas sahaja.
Untuk ayamnya pula, cukup sekadar dibakar menggunakan oven biasa bagi mendapatkan permukaan yang garing beraroma tetapi kekal lembut dan berjus di dalam.
Olahan mesra dapur rumah ini membolehkan anda membuat sendiri hidangan gred restoran Arab yang kaya dengan rempah-ratus untuk santapan keluarga atau majlis istimewa.
Bahan-bahan:
- 1 ekor ayam
- 1 biji bawang holland dipotong dadu
- 7 ulas bawang putih
- Rempah; 6 biji buah pelaga, 1 batang kayu manis, 2 helai daun salam, 1 sudu kecil bunga cengkih, 1 sudu kecil lada hitam, 1 sudu kecil ketumbar, ½ sudu besar serbuk jintan putih & ½ sudu besar serbuk ketumbar
- 1 sudu besar garam kasar (boleh adjust ikut level masin sendiri)
- 850ml air
- 500gm Basmathi (basuh & rendam 30minit)
- 1 biji loomi
- 4 batang cili hijau
- Sedikit pewarna merah oren & air saffron
Cara Masak:
- Panaskan sedikit minyak dan ghee dalam periuk dan tumiskan rempah-rempah, bawang holland dan bawang putih sehinggan naik bau.
- Kemudian masukkan air dan garam kasar.
- Belah bahagian tengah ayam di bahagian dada dan patahkan tulang sehingga rata. Masukkan ayam ke dalam periuk.
- Rebuskan ayam selam 30minit, kemudian keluarkan dan letakkan atas dulang pembakar.
- Masukkan loomi dan beras basmathi yang telah dibasuh bersih dan telah direndam selama 30minit terlebih dahulu.
- Letakkan cili hijau di atas nasi dan masak sehingga air kering, kemudian boleh kecilkan api.
- Letakkan sedikit pewarna merah oreng dan air saffron. Tutupkan kuali dan biarkan masak dengan api perlahan selama 10 sehingga 15 minit.
- Kemudian boleh padam api dan biarkan nasi bertutup selama 10 minit.
- Sementara tunggu nasi siap boleh terus prep ayam untuk bakar.
Rempah untuk bakar ayam:
- Sedikit minyak masak
- 1 sudu kecil serbuk paprika
- 1 sudu kecil serbuk jintan putih
- 1 sudu kecil serbuk lada hitam
- 1 sudu kecil pewarna saffron
Cara bakar ayam:
- Campurkan rempah-rempah bersama minyak masak
- Tuangkan campuran rempah tadi ke atas ayam dan ratakan.
- Bakar ayam di dalam oven pada suhu 200°C selama 10 sehingga 15 minit.



Gemburkan nasi selepas biarkan bertutup selama 10minit. Kemudian boleh letakkan ayam yang telah dibakar ke atas nasi. Ambil aluminium foil dan bentukkan menjadi mangkuk kecil. Kemudian letakkan seketul kecil arang yang telah dipanaskan di dalam mangkuk foil tadi. Titiskan sedikit minyak ke atas arang, apabila keluar asap boleh tutupkan periuk dan biarkan selama lebih kurang 5 minit. Siap untuk dihidang bersama sos salata hara (sos pedas Arab).

Salata Hara (Sos Pedas):
- 2 biji tomato
- 2 ulas bawang putih
- 1 batang cili hijau
- Daun ketumbar & daun pudina
- Garam secukup rasa
- Sedikit air untuk kisar bahan-bahan diatas



